AMALAN BERPANTANG CARA TRADISIONAL

Amalan berpantang cara tradisional dan penjagaan sepenuhnya selepas bersalin lebih meluas dikalangan orang Melayu.

Amalan tradisional orang Melayu untuk mudah bersalin

Melahirkan adalah satu waktu dan pengalaman yang sangat kritikal bagi ibu-ibu, oleh itu berbagai cara telah diusahakan untuk memudahkan proses bersalin. Penggunaan perubatan moden dan anestetik untuk melegakan kesakitan semasa bersalin boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan pada ibu-ibu dan juga pada bayi, oleh itu tidak patut digalakkan.

Di kalangan orang Melayu, minyak kelapa telah digunakan dengan meluas sebagai rawatan sebelum bersalin (pranatal) untuk memudahkan process melahirkan. Adalah dipercayai bahawa dengan meminum minyak kelapa setiap hari sebelum bersalin boleh memudahkan dan mempercepatkan proses melahirkan. Penggunaan sedikit minyak kelapa setiap hari di sekeliling pembukaan faraj, dalaman dan luaran semasa mengandung boleh mengurangkan keperluan untuk episiotomi iaitu pengoyakkan dan jahitan.

Amalan tradisional orang Melayu selepas bersalin

Bahagian tubuh kita yang paling tertekan semasa mengandung ialah otot perut, otot lantai pelvik, bahagian belakang dan organ-organ reproduksi. Kesemua organ-organ ini perlu dipulihkan sepenuhnya selepas proses melahirkan. Otot lantai pelvik yang pulih sepenuhnya selepas bersalin akan membantu lubang faraj kembali kepada saiz yang asal.

Otot lantai pelvik yang mengembang akan menyebabkan lubang faraj mengembang , dan seterusnya menyebabkan kurang sensasi semasa seks. Lubang faraj yang mengembang kadang-kala boleh mengeluarkan bunyi yang memalukan, boleh menyebabkan air kencing menitis apabila batuk atau bersin, seks yang menyakitkan, sakit pinggang dan belakang, dan rasa tekanan di kawasan pelvis.

Kualiti dan kedudukan otot lantai pelvik dan ligamen yang menyokong otot tersebut menentukan kedudukan yang betul bagi organ-organ di abdomen. Oleh itu, kedudukan otot lantai pelvik adalah sangat penting untuk kesihatan dalaman wanita.

Apa yang berlaku selepas proses melahirkan?

Selepas proses melahirkan melalui lubang faraj, semua organ-organ reproduksi akan berasa lemah dan lebam, menyebabkan kesakitan. Kawasan serviks akan kekal mengembang sehingga seminggu selepas bersalin. Selepas itu ia akan menebal, mengecut, dan kembali ke saiz asal. Lubang faraj akan bengkak dalam satu hingga dua hari. Dinding faraj dan kawasan kemaluan akan menjadi sangat sensitif beberapa minggu selepas bersalin dan akan kekal lemah selama 2-3 bulan.

Rawatan mengguna ‘haba’yang boleh memanaskan boleh melegakan kesakitan, meningkatkan peredaran darah dan menggalakkan proses penyembuhan. Penggunaan herba mandian, pencuci herba faraj dan pengambilan minuman herba juga boleh membantu proses penyembuhan, dan mengurangkan jangkitan.

Semasa mengandung, ibu-ibu berjalan dengan belakang yang agak melengkung untuk mengalas berat abdomen yang bertambah. Di samping itu, otot perut juga hilang kekuatan semasa mengandung. Jadi, untuk beberapa bulan selepas bersalin ibu-ibu baru mungkin akan terdedah kepada sakit belakang dan pinggang. Kawasan abdomen akan terus membuncit dan menggeleber, dan perut akan kekal ‘longgar’ untuk beberapa minggu. Ramai wanita akan terasa sensasi ‘kekosongan’ dalam perut.

Oleh itu, sangatlah penting untuk memulihkan dan menguatkan semula otot abdomen yang lemah, dan inilah yang menyebabkan pemakaian bengkung adalah sangat penting selepas bersalin. Penggunaan bengkung menyokong bahagian belakang dan menguatkan semula otot abdomen manakala penggunaan herba yang disapu pada perut sebelum memakai bengkung adalah penting untuk menegangkan balik perut yang menggeleber. Inilah asas penjagaan selepas bersalin cara tradisional orang Melayu.

Penjagaan berpantang orang Melayu

Tradisi orang Melayu, ibu-ibu yang baru bersalin mengikuti 44 hari tempoh berpantang dengan menggunakan herba-herba, rempah dan minyak untuk membolehkan mereka sembuh dan segar sepenuhnya.

Kesan rawatan tradisional dalam penjagaan selepas bersalin sangat dihargai oleh ramai ibu-ibu yang telah mengamalkannya .Ia telah terbukti bahawa ibu-ibu yang tekun mengikuti amalan berpantang cara tradisional akan kembali pulih sepenuhnya, segar, lansing dan bertenaga saperti semasa sebelum mengandung (pra-kehamilan).

Jika semua amalan cara tradisional yang disyorkan diikuti dengan sepenuhnya, ibu-ibu yang baru melahirkan dijangka boleh pulih sepenuhnya selepas 44 hari, termasuk mendapatkan kembali bentuk dan berat yang asal, tanpa perlu melakukan apa-apa senaman. Pemulihan seratus peratus dijangka boleh dicapai selepas berpantang 100 hari. Dikalangan masyarakat Melayu, ada ibu-ibu yang masih segar dan sehat walau telah melahirkan sepuluh orang anak kerana mereka tekun berpantang sepenuhnya selepas setiap kali melahirkan anak.

Rawatan penjagaan selepas bersalin juga mampu merawat ibu-ibu yang mengalami penyakit seksual atau yang berkaitan dengan rahim. la adalah benar-benar satu warisan yang tidak seharusnya diabaikan dan dilupakan.

Amalan berpantang orang Melayu berkisar kepada beberapa elemen

Penggunaan herba adalah ciri utama dalam penjagaan selepas bersalin cara tradisional Melayu. Berbagai herba boleh dimakan atau disapu dalam bentuk segar atau kering, bunga, akar kayu, atau ekstrak dijadikan kapsul. Sesetengah campuran herba ditumbuk dan disapu pada seluruh badan atau pada bahagian tertentu seperti di abdomen untuk menggalakkan peredaran darah, di dahi (pilis) untuk menghilangkan angin dan mencegah migrain selepas bersalin kerana kekurangan tidur. Merendam dan membilas kawasan faraj dengan rebusan herba boleh membersihkan, menghilangkan bau, menyembuhkan dan paling penting mengetatkan otot faraj.

Ciri kedua dalam penjagaan selepas bersalin cara tradisional orang Melayu adalah penggunaan ‘haba’. Misalnya penggunaan batu sungai yang dipanaskan atau ‘bertungku’ untuk membantu memecahkan lemak, mengecutkan rahim dan mengembalikan bentuk badan seperti waktu pra-kehamilan. Mandi dengan herba mandian untuk membantu mengembalikan tenaga dan menghilangkan bau badan dan menyapu minyak urut herba pada seluruh badan untuk menggalakkan peredaran darah dan mengeluarkan takungan air dalam badan juga diamalkan. Memakai ‘tapel’ atau campuran herba pada abdomen untuk menggalakkan peredaran darah ke kawasan perut dan pengambilan jamu atau minuman herba juga memanaskan badan .

Ciri ketiga ialah urutan cara tradisional Melayu selepas bersalin untuk menggalakkan peredaran darah dan mengelakkan rahim dari kendur. Berurut selepas bersalin dilakukan sekurang-kurangnya 6 hingga 7 kali sepanjang tempoh berpantang. Urut membantu memperbaiki aliran darah melalui otot, melancarkan peredaran, membuat ibu-ibu yang baru melahirkan merasa lebih segar dan sehat. Urut juga membantu membakar lemak badan.

Rahsia untuk melangsingkan badan cara tradisional selepas bersalin adalah dengan memakai bengkung setiap hari selama 44 hari, sekurang-kurangnya 12 jam sehari untuk mengetatkan perut dan bahagian badan yang menggeleber selepas bersalin, Memakai bengkung juga akan membantu mengecutkan rahim, meleperkan perut, menggalakkan postur badan yang betul semasa menyusukan bayi dan untuk mengelakkan makan dan minum berlebihan.

Semua rawatan tradisional lepas bersalin dibentuk khas untuk menguatkan organ reproduksi, terutamanya rahim, otot perut dan otot lantai pelvik. Dipercayai bahawa semua rawatan selepas bersalin dan berpantang sekurang kurangnya 44 hari adalah untuk memastikan ibu-ibu yang baru melahirkan akan kekal sehat dari segi fizikal, mental dan terus aktif dari segi seksual walaupun selepas menopos. Ibu-ibu muda yang yang tidak berpantang dan mengikuti rawatan cara tradisional selepas bersalin dipercayai akan menghadapi masalah seperti kekenduran (prolaps) rahim , kelonggaran pundi kencing dan berbagai jenis sakit puan terutama apabila mereka meningkat umur.

Dalam tempoh berpantang, ibu-ibu tidak dibenarkan minum air dengan banyak . Ini dipercayai untuk mengelakkan perut daripada menjadi buncit. Air batu (ais) diharamkan kerana ia dipercayai mengendurkan otot perut dan menyebabkan perut menggeleber. Makanan pula perlu diambil dalam kuantiti yang kecil tetapi ibu-ibu boleh makan beberapa kali sehari untuk mengelakkan dari lapar. Ini juga mempunyai kesan untuk meleperkan perut. Makanan cair atau berair dan berlemak atau berminyak juga tidak dibenarkan. Pengambilan makanan berair dipercayai boleh melambatkan pengeluaran lebihan air didalam badan. Manakala makanan yang berlemak dan berminyak akan mengganggu proses mengurangkan lemak untuk langsing semula.

Keluar dari rumah atau bersiar-siar di luar rumah semasa dalam pantang tidak dibenarkan. Penjagaan ditumpu juga kepada cara berjalan dan perhatian khusus pada ibu jari kaki . Dalam berpantang cara tradisional, ibu jari kaki perlu dijaga dengan baik supaya tidak terlanggar atau tersepak objek keras. Dipercayai bahawa kejadian seumpama itu boleh membawa kepada ‘bentan’, yang merupakan satu keadaan di mana badan menjadi sangat lemah dan menggeletar . Apabila ini berlaku, ia akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Ini mungkin berkaitan dengan hakikat bahawa dalam rawatan refleksologi kawasan kaki besar mengawal kesihatan rahim.

Ibu-ibu yang baru bersalin perlu memastikan tubuh mereka sentiasa panas pada setiap masa. Memakai baju tebal yang menutupi tubuh sepenuhnya dan stokin adalah wajib. Pengambilan makanan sejuk tidak dibenarkan. Tinggal di bilik berhawa dingin tidak digalakkan. Pengambilan makanan panas dan herba digalakkan. Ini akan meningkatkan peluh dan peredaran darah. Peluh yang berlebihan adalah cara yang baik untuk mengeluarkan semua air yang terkumpul dalam badan sepanjang kehamilan.

Rawatan tradisional jika bersalin melalui ‘caesarian’

Rawatan cara tradisional untuk ibu-ibu yang melahirkan melalui ‘caesarian’ biasanya bermula lambat sedikit berbanding dengan melahirkan melalui faraj. Pengambilan jus kunyit boleh dilakukan sebaik selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut dalam minggu yang pertama untuk mengeringkan jahitan di abdomen. Kunyit adalah herba yang bercirikan anti-bakteria dan boleh membantu untuk mengurangkan risiko jangkitan dijahitan. Bertungku hanya dibenarkan pada kawasan paha, pergelangan kaki dan belakang untuk membantu menguatkan rahim dan otot lantai pelvik tetapi tidak dikawasan abdomen. Mandi dengan rebusan herba dibenarkan beberapa hari selepas melahirkan melalui ‘caesarian’. Penggunaan bengkung perlu dimulakan apabila jahitan mula kering supaya otot abdomen tidak kendur dan akan menjadikan perut terus menggeleber.

Beberapa amalan tradisional orang Cina dan India

Amalan berpantang cara orang Cina

Salah satu prinsip utama amalan tradisional orang China selepas bersalin ialah menghalang badan dimasuki ‘angin’ yang dipercayai menjadi punca segala masalah sendi dan otot apabila umur meningkat tua. Satu amalan yang diketahui ramai dan diikuti ialah ibu-ibu yang bersalin tidak dibenarkan mandi atau mencuci rambut sepanjang waktu berpantang, iaitu sekurang- kurangnya 30 hari.

Orang Cina percaya bahawa tubuh seorang wanita paling lemah dan paling mudah terdedah kepada jangkitan penyakit waktu selepas bersalin. Dipercayai bahawa tempoh berpantang sekurang-kurangnya 30-40 hari boleh memastikan pemulihan sepenuhnya dan memastikan kesihatan jangka panjang. Semasa berpantang, selain tidak boleh mandi ibu-ibu yang baru melahirkan juga perlu mematuhi dan bertahan melalui bermacam pantang-larang terutama dalam penjagaan makanan.

Kebiasaannya, ibu-ibu yang dalam pantang akan mengupah seseorang yang berpengalaman, pertengahan umur dan berpengetahuan dalam penjagaan selepas bersalin untuk menjaga mereka sepanjang tempoh berpantang. Tujuan utama adalah untuk membantu ibu-ibu baru berehat dan pulih dari tekanan mengandung dan melahirkan anak dengan menyediakan makanan yang berkhasiat dan juga membantu menjaga bayi yang baru lahir.

Pantang larang dalam penjagaan makanan bertujuan untuk menyuburkan dan memanaskan badan, memperbaiki peredaran darah, ‘membuang’ toksin dan menggalakkan pengecutan rahim. Ibu-ibu digalakkan untuk makan hidangan yang kecil tetapi kerap untuk mengelakkan kelaparan supaya ‘angin’ tidak masuk ketubuh. Makan dengan kerap juga membantu memastikan bekalan susu ibu untuk bayi.

Makanan digalakkan adalah yang boleh memanaskan badan seperti halia tua, minyak bijan, lada hitam, wain dan cuka hitam yang digunakan secara meluas dalam hampir setiap hidangan dalam pantang. Makanan biasanya dikukus atau digoreng dengan penggunaan minyak yang sedikit. Bahan-bahan yang diguna biasanya dipilih dengan berhati-hati, dengan penekanan pada makanan segar, semula jadi, dan organik. Makanan menyejukkan dielakkan seperti buah-buahan tembikai, nenas, betik dan sayur-sayuran seperti kangkong, timun, kubis dan tauge. Sup herba dan tonik adalah minuman utama kerana ia menyuburkan dan meyegarkan badan. Herba cina seperti ginseng dan ‘dong quai’ merupakan herba penting untuk membantu badan sembuh. Air sejuk tidak dibenarkan langsung kerana ia akan menyebabkan sembab. Cuma minuman memanaskan seperti teh halia dibenarkan. Wain seperti DOM dan wain halia amat penting walaupun terdapat perdebatan bahawa ibu-ibu yang menyusu badan tidak harus minum wain kerana kesan sampingan keatas susu ibu.

Pantang-larang orang Cina :

  • Ibu-ibu yang baru melahirkan tidak dibenarkan untuk mandi dan mencuci rambut semasa tempoh berpantang 30 hingga 40 hari. Kepercayaan orang cina air adalah sejuk dan boleh menyebabkan “angin” masuk ke dalam badan, dan akan menyebabkan sakit badan, otot dan sendi yang teruk apabila umur makin meningkat.
  • Jika ibu-ibu yang baru melahirkan bertegas untuk mandi atau membasuh rambut, mereka dibenarkan mandi dengan air rebusan herba yang dibuat khas dari bahan-bahan yang boleh memanaskan badan. Mandi perlu dengan air panas dan hanya pada waktu siang saja. Sebaik sahaja keluar dari bilik mandi, mesti minum wain (DOM atau wain halia) untuk memanaskan badan dan mengelakkan ‘angin’ daripada memasuki tubuh.
  • Untuk mengelak tubuh dimasuki “angin”, ibu-ibu juga tidak dibenarkan keluar rumah, tidur dibawah kipas dan dalam hawa dingin.
  • Sepanjang berpantang ibu-ibu dibalut dengan lapisan pakaian tebal dan sarung kaki supaya tidak mendedahkan badan dimasuki “angin”.
  • Ibu-ibu dilarang daripada melakukan kerja-kerja rumah, mengangkat barangan berat, kerana ini boleh menyebabkan kekenduran rahim (prolaps).
  • Ibu-ibu tidak dibenarkan terlalu banyak membaca, menonton TV dan menangis tidak dibenarkan langsung. Jika tidak, penglihatan mata akan lemah dengan ketara.
  • Hubungan seks dengan suami juga dilarang selama 100 hari selepas bersalin.

Amalan berpantang orang India

Sama seperti orang Melayu dan Cina, orang India percaya bahawa amalan berpantang yang betul boleh membantu untuk mencegah masalah kesihatan apabila meningkat tua. Tempoh berpantang orang India juga adalah antara 30 hingga 40 hari.

Amalan berpantang orang India juga memastikan rahim mengecut kembali ke saiz asal dan ‘luka’ dalaman sembuh dengan sempurna.

Mandi herba diamalkan dengan menggunakan pelbagai jenis daun untuk meningkatkan peredaran darah dan mengurangkan keletihan.

‘Omam’, yang merupakan sejenis rempah, disapu di seluruh badan untuk membersihkan dan melembutkan kulit, serta untuk melegakan sakit.

Diet berpantang orang India kebanyakkannya bertujuan meningkatkan pengeluaran susu ibu. Sayuran berdaun hijau, daging ikan yu, bawang putih, puding kacang dal hitam dan biji halba rebus (halba) adalah antara makanan yang dipercayai membantu menghasilkan banyak susu badan.

Orang India juga mempunyai cara urutan badan mereka sendiri yang dipercayai untuk membantu ibu-ibu yang baru melahirkan mendapat semula bentuk badan yang langsing.

Pantang-larang orang India:

  • Makanan laut tidak dibenarkan jika ibu menyusukan anak, kerana ia akan menyebabkan muntah dan ruam pada bayi.
  • Sayuran dan buah-buahan yang sejuk dan berangin seperti kubis, terung dan anggur tidak dibenarkan.
  • • Minum terlalu banyak tidak dibenarkan. Hanya air susu panas atau air suam boleh diminum.